Saturday, June 12, 2010

Polis Sibuk Pantau Ceramah Politik, Peragut Berleluasa Di Kawasan Bandar

salam...

KUALA LUMPUR 12 Jun - Lawatan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar ke Jalan Maarof, Bangsar semalam bukan sahaja menjadi tumpuan penguna jalanraya tetapi juga telah menarik minat peragut yang menjadikan kumpulan wartawan yang membuat liputan berita sebagai mangsa.

Jurukamera akhbar berbahasa Cina, Nan Yang Siang Pau, Khor Meng Siang, yang sedang berjalan lebih kurang 100 meter di belakang Nurul Izzah dan wartawan lain sambil mengambil gambar Jalan Maarof diragut oleh dua penyamun yang menunggang motosikal.

Menh Siang yang cedera di bahagian lutut juga kehilangan kameranya yang dianggarkan bernilai RM20,000.

"Ini satu kejadian yang serius, di mana jurukamera diragut semasa bertugas dengan kehadiran sama seorang ahli parlimen. Saya amat terkejut dan hampa dengan pihak polis atas kejadian ini kerana apabila kita mengadakan ceramah, banyak pula anggota polis yang hadir," kata Nurul Izzah berhubung kes ragut tersebut.

Tambah beliau lagi, ini jelas menunjukkan betapa lemahnya perondaan polis di kawasan Bangsar, yang merupakan pusat perniagaan yang sentiasa sibuk dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

"Polis patut meronda kawasan ini lebih kerap memandangkan kepentingan ekonominya, tetapi peristiwa malang ini hanya membuktikan kawasan ini tidak dipantau sepenuhnya hinggakan peragut ini berani bertindak di tengah bandar, tambah lagi di siang hari.

"Polis sentiasa meronda dan menghantar ramai anggotanya untuk menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh kita, yang jelas satu pembaziran sumber sedangkan apa yang kita perlukan ialah lebih banyak anggota ditugaskan di lapangan membantu dan dalam masa yang sama mengembalikan keyakinan rakyat.

"Isu ini hanya berbalik kepada pemantauan tugasan polis kerana saya percaya apabila adanya satu badan untuk memantau institusi kepolisan, polis berpeluang membaiki diri dengan menerima kritikan positif dan secara langsung memberikan perkhidmatan yang lebih baik," kata beliau lagi.

Nurul Izzah menegaskan, kejadian sebegini mengukuhkan lagi desakan mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang dapat membendung polis daripada menjalankan tugasan yang berunsurkan politik dan menggalakkan perkhidmatan yang mengutamakan rakyat.

"Saya sedih dengan kejadian ini, malah kini saya sendiri tidak berasa selamat untuk berada di luar. Jika peragut semakin berani hinggakan meragut jurukamera yang mengikuti saya, apa jaminan saya sebagai seorang Ahli Parlimen tidak diragut selepas ini? Bagaimana saya hendak mempercayai kenyataan badan kepolisan dan statistik yang dibentangkan di Parlimen menyatakan kadar jenayah telah berkurangan?" soal Nurul Izzah.


sumber:suara keadilan...

No comments: